Friday 6 January 2012

KEDAH F.A MAHU BERPIJAK DI BUMI YANG NYATA


 ZAMAN kegemilangan pasukan Kedah yang pernah mencapai kejayaan treble pada 2007 bakal menjadi pembakar semangat kepada barisan pemain skuad Hijau Kuning menjelang sepak mula Liga Super pada 10 Januari ini.
Cuma yang membezakan, ketika itu Kedah dikatakan mempunyai gandingan pemain import mantap iaitu Marlon Alex James dan Nelson Sam Martin.
Namun, pada saingan Liga Super 2012 ini, pasukan yang diberi jolokan skuad Kenari akan mempertaruhkan khidmat dua pemain Brazil iaitu Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo (Danilo) dan Daniel Soares Neves (Baroni).
Pemain Import Kedah F.A bagi musim 2012. Kiri (Baroni) dan kanan (Danilo)

Tugas berat itu pasti dirasai kedua pemain import berkenaan dan boleh dikatakan seluruh penyokong skuad Kenari pasti menaruh kepercayaan tinggi kepada pemain berkenaan bagi mengulangi kejayaan treble yang pernah menjulang nama pasukan negeri itu.


Namun, ketiadaan tonggak utama, Baddrol Bakhtiar, akibat mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan pasti dirasai barisan kesebelasan utama kerana khidmat pemain muda itu amat ditagih bagi terutama di barisan tengah.


Mana tidaknya, untuk empat perlawanan pertama saingan Liga Super 2012, pasukan Kenari akan berdepan ujian getir termasuk pertemuan dengan Singapura yang kembali beraksi di dalam kancah liga tempatan selepas kali terakhir pasukan itu beraksi pada 1994.

Tugas berat itu terpaksa dilalui melalui garapan pemain tempatan dan import demi mengembalikan zaman kegemilangan pasukan negeri itu sekali gus menjadikan skuad Hijau Kuning digeruni oleh pasukan lawan.

Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof turut mengakui tugas berat terpaksa dipikul oleh barisan pemainnya pada saingan awal Liga Super, namun beliau menegaskan persediaan rapi sudah dilakukan termasuk perkembangan positif beberapa pemain muda.

Menurutnya, pasukan kendaliannya memang memerlukan khidmat pemain import supaya dapat memberi impak kepada mutu permainan, namun harapan menggunung turut disandarkan kepada gandingan pemain tempatan yang mampu memberi kelainan kepada corak permainan.

Katanya, selain Baddrol Bakhtiar, pemain lain yang bakal menggalas misi pasukan itu adalah Mohd Khyril Muhymeen, Amar Rohidan, Mohd Fauzie Nan dan Azmizi Azmi.

“Sebenarnya, dalam permainan bola sepak, kita tidak boleh mengharapkan kepada beberapa pemain saja untuk mencipta kemenangan sebaliknya perlu bekerja sebagai satu pasukan dan dalam erti kata lain saling memerlukan bagi mencipta kemenangan.

“Pada peringkat pra musim ini, saya dapat melihat semua barisan pemain tidak kira tempatan atau import mempu
nyai semangat tinggi dan saya sering menasihatkan supaya mengekalkan keazaman itu bagi membolehkan kami membawa pulang piala ke Kedah,” katanya ketika ditemui selepas tamat latihan pasukan itu, di sini, semalam.

Bagi Mohd Nidzam, pihaknya meletakkan beberapa sasaran tertentu dan mengingatkan kepada pemain supaya meraih kejayaan lebih baik berbanding musim lalu termasuk menjadikan skuad Kenari sebagai pasukan elit di dalam saingan Liga Super.

Selain itu, katanya, perkembangan positif yang ditunjukkan oleh pemain import melalui beberapa perlawanan persahabatan termasuk sesi latihan bakal menjadi batu loncatan kepada pasukan negeri itu untuk menguasai saingan liga.

“Secara dasarnya, saya dapat menjangkakan saingan Liga Super pada musim ini agak sengit apabila melihat setiap pasukan yang bertanding masing-masing mempunyai kelebihan sendiri tambahan pula pada saingan tahun ini, khidmat pemain import kembali dibenarkan.

“Walaupun begitu, keazaman barisan pemain tetap tinggi untuk menjulang piala sekali gus mengungguli semula takhta Liga Super kerana itu adalah antara misi skuad Hijau Kuning pada musim ini,” katanya.

Namun, biarpun laungan semangat sudah disuarakan bagi setiap pasukan yang bertanding, semuanya akan ditentukan pada 90 minit apabila Kedah bakal berkunjung ke Kuala Terengganu untuk bertemu pasukan T-Team pada Selasa ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...